Pengenalan Sekolah


SK. Laputong, Tamparuli merupakan sebuah sekolah rendah luarbandar kategori kurang murid yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Tamparuli. Panorama sekolah yang terletak di kawasan bukit-bakau menyerlahkan lagi keindahan kehijauan alam sekitarnya. Keadaan geomorfologi yang berbukit-bukau menyebabkan taburan pola petempatan penduduk kampung yang berselerak dan jauh antara satu sama lain. Oleh yang demikian, tidak hairanlah ramai pelajar yang berjalan kaki sejauh 2 hingga 7 kilometer seharian ke sekolah demi mencapai kecemerlangan dalam kehidupan.

 Terdapat beberapa kampung yang berhampiran dengan sekolah seperti Kampung Puhus, kampung Laputong, Kampung Tanggipan  dan kampung Kapa. Manakala, dari aspek sosioekonominya, hampir 90 % penduduk kampung menyara hidup dengan bertani seperti menanam padi dan menoreh getah dan 10 % lagi penduduk merupakan kakitangan kerajaan. Dari segi latar belakang murid sekolah, hampir 90% adalah dari suku kaum Dusun. Bahasa ibunda dusun sebagai bahasa sehari-hari sewaktu di rumah.

 Memandangkan murid-murid sekolah ini majoritinya adalah berbangsa Dusun maka subjek Bahasa Kadazan Dusun diterapkan agar bahasa ibunda ini dapat dimartabatkan lagi bagi memperkasakan bahasa ibunda negeri Sabah. Kekangan seperti kekurangan kemudahan infrastruktur jalan raya dan air merupakan antara cabaran yang dihadapi penduduk kampung sekitar sekolah. Walau bagaimanapun pencapaian UPSR yang semakin meningkat dari tahun ke tahun ditambah lagi kejayaan cemerlang seperti Anugerah Sekolah Harapan 2010, Anugerah Pusat Sumber Cemerlang peringkat Negeri 2011 dan Anugerah PIBG daerah Tuaran 2011 merupakan bukti yang jelas menunjukkan bahawa SK Laputong dahagakan kejayaaan yang lebih gemilang dalam mengorak langkah menuju ke arah sekolah Berprestasi Tinggi.

Posted in Uncategorized | 1 Comment